HEBAHAN : GARIS PANDUAN PERANCANGAN (GPP) RUMAH IBADAT ISLAM
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah memuktamadkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Rumah Ibadat Islam.GPP ini disediakan sebagai panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak berkuasa Agama Islam dan agensi-agensi teknikal berkaitan dan pemaju atau perunding dalam merancang peletakan, reka bentuk dan susun atur rumah ibadat Islam meliputi masjid, surau dan ruang / bilik solat / musala dalam rancangan pemajuan dan permohonan kelulusan kebenaran merancang. GPP Rumah Ibadat Islam ini akan menggantikan GPP Masjid dan Surau (GP0008-A) yang diterbitkan pada tahun 2009. GPP ini juga telah melalui beberapa siri penambahbaikan sejak GPP pertama pada tahun 1997 dan edisi ke-2 pada tahun 2009. GPP Rumah Ibadat Islam merangkumi empat (4) garis panduan umum berkaitan; i) perancangan tapak; ii) reka bentuk; iii) komponen kemudahan; dan iv) kawalan lalu lintas. GPP ini juga turut memperincikan mengenai garis panduan khusus yang merangkumi enam (6) hierarki rumah ibadat Islam iaitu; (i) masjid negara, negeri / wilayah; (ii) masjid daerah / jajahan; (iii) masjid tempatan; (iv) surau / surau Jumaat; (v) ruang solat / musala; dan (vi) rumah ibadat pelancongan.