Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

logo-jata
logo-jata

Soalan Lazim_Bandar Pintar (SMART CITY)

Apakah yang dimaksudkan dengan BANDAR PINTAR (SMART CITY) di Malaysia?

Bandar pintar dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam pengurusan bandar dan pembangunan untuk menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mampan dan berdaya huni.  Pada masa yang sama, kemajuan teknologi dan penggunaan teknologi maklumat (IT) menjadikan pendekatan bandar pintar lebih praktikal dan memudahkan penduduk dan pengurus bandar.

 

Oleh itu, Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) 2019-2025 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), merupakan rujukan utama di peringkat nasional berkaitan perancangan dan pembangunan bandar pintar di Malaysia.  RKBPM telah dijadikan sebagai panduan khusus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak berkuasa negeri (PBN), Kementerian dan Jabatan, pemain industri, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain untuk merancang dan membangunkan bandar pintar yang holistik di Malaysia dan seiring dengan perkembangan semasa.

 

RKBPM mendefinisikan bandar pintar sebagai:

 

“Bandar-bandar yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi canggih bagi menangani isu-isu untuk meningkatkan kualiti hidup, mempromosi pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran yang mampan dan selamat serta menggalakkan amalan pengurusan bandar yang cekap.”

 

(Sumber: RKBPM, Bab 2 - Kerangka Bandar Pintar, m.s.16)

Bandar pintar merupakan satu pendekatan baharu dalam pengurusan bandar dan pembangunan ke arah menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mampan dan berdaya huni. Oleh itu, bagaimana KPKT membuat penilaian untuk memberi pengiktirafan ke atas bandar-band

Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) 2019-2025 telah menggariskan keperluan pelaksanaan akreditasi bandar pintar yang bermatlamat untuk mewujudkan standard bagi penarafan bandar pintar pada masa akan datang.

 

Selaras dengan itu, KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah membangunkan Standard Indikator Bandar Pintar, iaitu MS ISO 37122:2019 Sustainable Cities and Communities sebagai penanda aras dalam menentukan tahap pelaksanaan bandar pintar di Malaysia, agar selari dengan penerimapakaian di peringkat global.  Standard ini menjadi asas utama dan salah satu kriteria pengukuran kepada penarafan bandar pintar berdasarkan indikator MS ISO 37122:2019. 

 

Pada tahun 2023, KPKT telah memperkenalkan Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia.  Program ini bertujuan untuk mengiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melaksanakan inisiatif bandar pintar berdasarkan Standard Indikator Bandar Pintar (MS ISO 37122:2019).

 

Bagi tujuan tersebut, KPKT telah menyediakan Malaysia: Smart City Maturity Journey sebagai hala tuju perancangan dan pelaksanaan agenda bandar pintar oleh 155 PBT di Malaysia.  Ia mengandungi tiga (3) komponen dan empat (4) kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh PBT iaitu:

 

  1. POLISI

 

Kriteria 1: Pelan Tindakan Bandar Pintar

Merupakan dokumen utama dalam memandu arah PBT ke arah bandar pintar. PBT seharusnya mempunyai pelan tindakan yang jelas dan komprehensif bagi memastikan pelaksanaan bandar pintar yang sistematik dan holistik.

 

Kriteria 2: Tadbir Urus Bandar Pintar

Merujuk kepada penubuhan jawatankuasa khusus dan unit khas yang berperanan di peringkat PBT sebagai platform dalam memudahcara perancangan dan pembangunan bandar pintar.

 

  1. PENGURUSAN DATA

 

Kriteria 3: Pengurusan Data, Analitik dan Command Center atau Integrated Operation Centre (IOC)

  • Pengurusan data yang melaksanakan polisi data terbuka  dan perkongsian data dengan pelbagai agensi ke arah mewujudkan sistem pengurusan bandar yang komprehensif.
  • Data analitik yang menekankan keperluan PBT merancang pembangunan dan beroperasi di atas penghasilan data daripada komponen bandar pintar yang mampu menghasilkan data secara descriptive, diagnostic, predictive dan prescriptive.
  • Command Center atau IOC yang mempunyai satu pusat kawalan untuk menguruskan operasi secara efektif dan pengurusan data bandar pintar secara sistematik.

 

  1. PROJEK DAN PROGRAM

 

Kriteria 4: Internet of Thing (IoT) dan MS ISO 37122:2019

  • Internet of Thing (IoT) digunakan untuk menilai tahap integrasi peranti IoT sebagai satu alat untuk mengukur pelbagai data masa sebenar seperti CCTV, sensor alam sekitar dan lain-lain peranti.
  • MS ISO 37122:2019 sebagai indikator utama pelaksanaan dan pematuhan kepada 85 indikator bandar pintar secara berperingkat mengikut keupayaan dan keutamaan yang melibatkan empat (4) tahap penarafan dan pensijilan bandar pintar di Malaysia.

 

Penilaian Penarafan Bandar Pintar Malaysia melibatkan empat (4) tahap iaitu:

  1. Tahap 1: Smart City Early Adopter (Penarafan);
  2. Tahap 2: Developing Smart City (Penarafan);
  3. Tahap 3: Leading Smart City (Penarafan / Pensijilan); dan
  4. Tahap 4: Visionary Smart City (Pensijilan).

 

Apakah peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melaksanakan Agenda Bandar Pintar di Malaysia?

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) merupakan agensi pusat (central agency) yang bertanggungjawab memainkan peranan utama dalam melaksanakan agenda bandar pintar di Malaysia.

Terdapat empat (4) peranan utama yang perlu dilaksanakan dalam merealisasikan matlamat agenda bandar pintar Malaysia ke arah Smart Nation pada tahun 2040, iaitu:

  1. Penyediaan Blueprint atau Pelan Tindakan Bandar Pintar
  1. Merangka dan menetapkan dasar, strategi, inisiatif projek, program serta garis panduan pembangunan bandar pintar di Malaysia. Pembangunan dokumen dasar rujukan utama bandar pintar termasuk Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025 sebagai dokumen rujukan utama peringkat negara, termasuk membangunkan standard piawaian seperti MS ISO 37122:2019 untuk menilai prestasi bandar pintar serta Panduan Perancangan Bandar Pintar.  Tindakan ini merupakan salah satu usaha dalam memastikan pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara konsisten dan sesuai dengan matlamat dan keperluan negara.
  2. Pembangunan dokumen perancangan bandar pintar di peringkat negeri dan tempatan. Membantu pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam menyediakan dokumen Blueprint Bandar Pintar peringkat negeri dan Pelan Tindakan Bandar Pintar di peringkat PBT. Dokumen ini akan menterjemahkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM), dasar sedia ada berkaitan bandar pintar dan penyelesaian isu perbandaran ke dalam bentuk strategi serta program di peringkat negeri dan tempatan.
  3. Perancangan bandar pintar di peringkat rancangan pemajuan. Memberikan khidmat nasihat dalam penterjemahan inisiatif bandar pintar melalui rancangan pemajuan sebagai dokumen perancangan utama dalam pembangunan fizikal di peringkat negara, negeri dan tempatan.

 

  1. Pembangunan Platform Bandar Pintar Negara (National Smart City Platform)

Platform Bandar Pintar Negara (NSCP) berfungsi sebagai pusat integrasi data yang menggabungkan data bandar pintar dengan maklumat perbandaran yang menjurus kepada 85 indikator bandar pintar.  Platform ini dibangunkan melalui Malaysia Urban Observatory (MUO) yang memainkan peranan penting dalam analitik big data. Data NSCP ini akan dapat membantu dan menyokong PBT dalam perancangan ke arah penarafan bandar pintar dan proses membuat keputusan dengan lebih berkesan.

 

  1. Penyediaan Akreditasi Bandar Pintar

Memainkan peranan sebagai agensi utama yang menyelaras dan menganjurkan Program Penarafan Bandar Pintar, khususnya berkaitan pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan yang telah berjaya melaksanakan inisiatif bandar pintar berdasarkan Standard Indikator Bandar Pintar (MS ISO 37122:2019).

 

  1. Pelaksanaan Program Hebahan dan Kesedaran

Menyelaras dan melaksanakan program hebahan dan kesedaran berkaitan konsep dan agenda bandar pintar Malaysia di kalangan masyarakat, pihak berkuasa negeri dan tempatan, sektor swasta, pemain industri, ahli akademik dan pihak lain yang berkepentingan melalui pelbagai inisiatif, latihan, dan program yang berbentuk capacity building, knowledge and technical expert sharing di dalam dan luar negara. Ini bertujuan memastikan semua pihak berkepentingan memahami dan menyokong pelaksanaan bandar pintar di Malaysia.


Kemaskini pada 2024-08-29 15:45:48 daripada Mohd Irwan bin Omar

  •  
  • Print
  • Email this page