Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

logo-jata
logo-jata

Soalan Lazim_Sistem Maklumat Gunatanah Perancangan Bersepadu

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah membangunkan dan melaksanakan Sistem Maklumat Gunatanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) bermula tahun 2016 lagi. Apakah sebenarnya Sistem I-Plan ini?

  1. Sistem Maklumat Gunatanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) merupakan sistem pangkalan data guna tanah perancangan yang berasaskan GIS dengan mengaplikasikan teknologi Sumber Terbuka (Open Source). Sistem I-Plan telah dilancarkan pada 3 November 2015 oleh Menteri KPKT bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS). Pelaksanaan Sistem I-Plan ini telah mendapat persetujuan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-25 (Bil 1/2016) pada 21 Julai 2016.

 

  1. Matlamat utama Sistem I-Plan adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan dan perkongsian maklumat guna tanah perancangan bersepadu yang komprehensif, efektif, dan efisien. Sistem I-Plan juga memudahcara pengurusan data guna tanah perancangan melalui aktiviti:

 

  1. Pengumpulan data;
  2. Pengemaskinian data;
  3. Verifikasi data;
  4. Penyeragaman data; dan
  5. Penyimpanan data.

 

  1. Proses ini berlaku di antara agensi dan capaian data secara dalam talian bagi 11 Negeri di Semenanjung Malaysia, 103 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk PBT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pengemaskinian maklumat gunatanah perancangan ini pula dilaksanakan sebanyak 2 kali setahun.

 

Evolusi perkembangan berkaitan pengurusan maklumat guna tanah perancangan ini dapat dilihat menerusi PLANMalaysia yang telah mengambil inisiatif menggunapakai teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang telah berkembang di Malaysia sejak tahun 1980-an dalam penyediaan rancangan-rancangan pemajuan. Pelbagai program dan aktiviti berkaitan penggunaan GIS telah dirangka oleh PLANMalaysia untuk memperkukuhkan pengurusan data guna tanah perancangan.

Apakah perincian jenis-jenis maklumat yang terkandung dalam Sistem I-Plan ini?

  1. Sistem I-Plan menyediakan akses kepada pelbagai jenis maklumat guna tanah perancangan, seperti data guna tanah semasa, gunatanah zoning dan guna tanah komited. Data-data geospatial ini melibatkan keluasan lebih kurang 13.18 juta hektar dan dianggarkan mempunyai 10 juta lot/poligon yang mempunyai perincian maklumat guna tanah.

     Guna Tanah Semasa:

     Merujuk kepada penggunaan tanah sedia ada di atas tanah tersebut termasuk ciri-ciri semula jadi atau binaan manusia. Contohnya, badan air, hutan, kediaman, perindustrian, infrastruktur dan kawasan lapang.

     Guna Tanah Zoning:

     Merujuk kepada penggunaan tanah yang telah dizonkan untuk pembangunan masa depan berdasarkan Rancangan Tempatan yang diwartakan. Contohnya, badan air, hutan, kediaman, perindustrian, infrastruktur dan kawasan lapang.

     Guna Tanah Komited:

     Merujuk kepada penggunaan tanah berkenaan dengan pembangunan yang telah diberi Kebenaran Merancang dalam tempoh sah laku ATAU telah memulakan kerja tanah atau pembinaan, tetapi belum dikeluarkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

 

            Data-data lain dalam Pangkalan Data Sistem I-Plan juga merangkumi Rancangan Pemajuan seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan (RT), Rancangan Kawasan Khas (RKK), dan kajian-kajian perancangan lain yang digunakan untuk menyokong penyediaan Rancangan Pemajuan secara holistik.

Apakah peranan utama Sistem I-Plan dalam penyediaan Rancangan Pemajuan?

Khidmat Nasihat

  1. Secara umumnya, PLANMalaysia merupakan agensi utama yang bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain dalam semua hal perancangan yang berkaitan dengan penggunaan dan pembangunan tanah serta dalam penyediaan Rancangan Pemajuan.

 

  1. Sistem I-Plan berperanan sebagai pusat rujukan maklumat guna tanah negara dan alat untuk membantu dalam proses perancangan fizikal sebagaimana ditetapkan dalam rancangan pembangunan negeri dan tempatan.

 

Pengenalpastian Maklumat Guna Tanah Perancangan

 

  1. Melalui Sistem I-Plan juga, sistem ini dapat memenuhi keperluan sistem maklumat guna tanah perancangan negara yang seragam dengan mengenalpasti maklumat-maklumat seperti:

 

  1. Kawasan sumber makanan negara (tanaman, perikanan dan penternakan)
  2. Kawasan Sensitif Alam Sekitar
  • Rizab hidupan liar
  • Kawasan Pesisiran Pantai
  • Dataran Banjir, Tanah Lembap, Bekas Lombong, Tasik Dan Sungai
  • Tadahan Air dan Sumber Air Tanah
  • Simpanan Mineral dan Bencana Geologi
  • Bekas dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal dan Sisa Toksid
  • Warisan Semulajadi
  • Hutan Simpanan Kekal

 

  1. Maklumat-maklumat guna tanah ini sangat penting dalam membantu dalam penyediaan dasar-dasar, strategi-strategi dan pelan-pelan tindakan yang berkaitan. Sebagai contoh, data-data ini adalah signifikan dalam penetapan dan perancangan zoning bagi setiap lot tanah seperti yang digariskan dalam Rancangan Tempatan.

 

  1. Sistem I-Plan juga dapat membantu pengguna dalam membuat carian terperinci guna tanah:

 

  1. Taburan Lokasi Rumah Mampu Milik
  2. Kemudahan Kesihatan
  3. Kemudahan Pendidikan
  4. Institusi Keagamaan
  5. Balai Bomba, Balai Polis dan lain-lain

 

  1. Selain itu, usaha PLANMalaysia dalam memastikan kesediaan data-data ini dapat membantu dalam mengenalpasti kawasan-kawasan yang:
  1. berpotensi untuk dibangunkan
  2. berhalangan untuk tujuan pembangunan
  3. berisiko bencana dan lain-lain.

Apakah modul-modul yang terdapat dalam Sistem I-Plan?

  1. Modul-modul Sistem I-Plan yang telah dibangunkan merupakan satu output inovatif, dari pengurusan dan perkongsian maklumat secara konvensional kepada pengurusan dan perkongsian maklumat secara dalam talian yang lebih efisien. 

 

  1. Sistem I-Plan mempunyai beberapa modul utama seperti:

 

  1. Modul Pemetaan Interaktif - Paparan peta gunatanah
  2. dan sistem carian pelbagai
  3. Modul Pautan - Pautan ke sistem geospatial agensi-agensi lain
  4. Modul Integrasi - Perkongsian data antara melalui perkhidmatan map service
  5. Modul Permohonan Data - secara dalam talian
  6. Modul Analisis - penganalisaan spatial, statistik
  7. Modul Penerbitan/Repositori - Carian dokumen penerbitan PLANMalaysia
  8. Modul Aduan Gunatanah - Semakan dan pengumpulan maklumat dari aduan pengguna (crowdsourcing)

 

Setiap modul ini mempunyai fungsi khusus sebagai kemudahan kepada pengguna menjalankan proses pengurusan maklumat guna tanah perancangan.

 

Aplikasi Telefon Pintar I-Plan

 

  1. PLANMalaysia juga telah membangunkan Aplikasi Telefon Pintar I-Plan yang merupakan inovasi bagi memudahkan penyampaian maklumat dalam bentuk digital kepada warga Jabatan dan rakyat. Aplikasi ini dapat memudahkan masyarakat untuk menyemak maklumat guna tanah perancangan dengan menggunakan telefon pintar.  Aplikasi Telefon Pintar I-Plan ini adalah aplikasi yang pertama berkenaan maklumat guna tanah perancangan di negara ini.

 

  1. Pembangunan aplikasi ini adalah sejajar agenda dan matlamat Nasional dalam memudahkan penyampaian dalam bentuk digital perkhidmatan kerajaan kepada orang awam serta menggalakkan inovasi bagi menghasilkan aplikasi pintar dan berimpak tinggi. Aplikasi Telefon Pintar I-Plan ini juga merupakan rekayasa yang boleh diaplikasikan oleh semua golongan tanpa mengira tahap kemahiran. Selain itu, ia adalah sumbangan besar terhadap peningkatan perkhidmatan I-Plan khususnya mencapai matlamat bagi “Merakyatkan Data”.

 

Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS)

 

  1. Pada September 2023, Sistem I-Plan juga telah menerima pensijilan ISO/IEC 27001:2013 iaitu pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS). Ianya merupakan satu pendekatan sistematik yang merangkumi proses, teknologi dan sumber manusia untuk melindungi dan mengurus maklumat yang terdapat di Sistem I-Plan.

 

Melalui pensijilan ini, pengurusan Sistem I-Plan telah dilaksanakan dengan tata kelola keselamatan terbaik yang melindungi kerahsiaan, integriti dan kesediaan data serta meningkatkan keselamatan terhadap serangan siber.

Apakah kepentingan Sistem I-Plan ini kepada agensi-agensi kerajaan, pemain industri, dan orang awam dalam konteks perancangan pembangunan dan penggunaan tanah di Malaysia?

  1. Agensi-Agensi Kerajaan:

     I-Plan menyediakan platform integrasi bagi agensi-agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan agensi lain bagi memudahkan proses perkongsian maklumat. Ini meningkatkan efisiensi dalam perancangan pembangunan, penggunaan tanah, dan penyediaan Rancangan Pemajuan. Sistem I-Plan juga dapat memudahkan pemantauan perubahan guna tanah dan menjadi rujukan utama untuk merancang dan memantau perancangan serta pembangunan spatial/fizikal negara.

 

     Antara agensi utama kerajaan yang menggunakan data I-Plan adalah Jabatan Pengairan dan Saliran yang banyak memohon mendapatkan data bagi tujuan penyediaan kajian lembangan-lembangan sungai di seluruh negara.

 

  1. Pemain Industri:

     Industri pembangunan, pelaburan hartanah, dan pemaju tanah mendapat manfaat daripada Sistem I-Plan kerana menyediakan akses mudah kepada maklumat terkini berkaitan dengan penggunaan tanah dan perancangan pembangunan. Hal ini memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang lebih tepat, merancang projek secara efisien, dan mematuhi peraturan perancangan yang sedia ada. Ini memberi keyakinan kepada pemain industri dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

 

     Melalui Sistem I-Plan, pemain-pemain industri dapat mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan berdasarkan zon-zon gunatanah dan kesediaan tanah itu sendiri.

 

  1. Orang Awam:

     I-Plan memberi kelebihan kepada orang awam dengan menyediakan akses mudah dan terbuka kepada maklumat guna tanah perancangan. Dengan menggunakan Aplikasi Telefon Pintar I-Plan, masyarakat boleh membuat carian terperinci setiap lot tanah, menyemak maklumat guna tanah, memahami perancangan pembangunan di kawasan mereka, dan memberikan input kepada proses perancangan.

 

            Hal ini meningkatkan kefahaman orang awam terhadap pembangunan di sekitar mereka dan memberikan peluang untuk penyertaan aktif dalam proses perancangan.

Bagaimana Sistem I-Plan dapat menyumbang kepada matlamat "Merakyatkan Data"?

  1. Sistem I-Plan berupaya membantu merakyatkan data dengan memudahkan akses dan penyampaian maklumat guna tanah perancangan kepada orang awam tanpa mengira tahap kemahiran.

 

Analisis Google

  1. Berdasarkan analisis yang telah kita laksanakan, sehingga kini capaian Sistem I-Plan telah mencatatkan jumlah pengguna seramai 3 juta orang (dengan purata 600-3300 pengguna harian) sejak daripada mula digunapakai pada tahun 2016. Malah, Aplikasi Telefon Pintar I-Plan juga telah mencatatkan lebih daripada 50,000 jumlah muat turun.

 

  1. Merujuk kepada Statistik Pembekalan Data I-Plan bagi tahun 2023, PLANMalaysia telah mencatatkan  sebanyak:
  • 92 permohonan pembekalan data
  • Saiz data : 258,266.63 MB
  • Nilaian data : RM 124.7 juta

 

     Pembekalan data-data ini melibatkan pemohon daripada agensi-agensi kerajaan, agensi swasta dan IPTA/IPTS.

 

Permohonan Data Secara Dalam Talian

 

  1. Sistem ini juga telah memudahkan pengguna dan pihak pemegang taruh untuk mendapatkan data-data gunatanah perancangan menerusi modul permohonan data secara dalam talian. Pengguna hanya perlu melayari portal Sistem I-Plan di www.iplan.planmalaysia.gov.my dan mendaftarkan akaun serta ikuti langkah-langkah memohon data seperti yang ada dipaparkan di laman tersebut. Proses permohonan data-data ini akan dilaksanakan dalam tempoh 7 hari bekerja (bagi data tersedia).

 

Projek Naik Taraf Sistem I-Plan

Dari masa ke semasa, Jabatan juga ada melaksanakan Projek Naik Taraf Sistem I-Plan bagi menambah baik perkhidmatan sistem ini ke tahap yang lebih dengan menambahbaik fitur, fungsi dan modul-modul sedia ada.


Kemaskini pada 2024-08-29 16:16:51 daripada Mohd Irwan bin Omar

  •  
  • Print
  • Email this page