Apakah keperluan atau hasrat Kerajaan dalam penggubalan Akta PSB?
- Keperluan Akta Pembaharuan Semula Bandar dalam menyeragamkan peraturan tangkas (agile) dan menyeluruh (comprehensive) bagi mentadbir pembangunan semula bandar. Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB) merupakan satu keperluan bagi negara-negara yang mempunyai kadar perbandaran tinggi sehingga melebihi 75% termasuk Malaysia. Negara seperti Singapura, Korea Selatan, China dan Hong-Kong telah mempunyai set undang-undang pembaharuan semula bandar bagi mengurus kawasan perbandaran yang semakin sesak dan bertambah usang.
- Amalan semasa pembaharuan semula bandar banyak melibatkan perkara berkaitan tanah, pengambilan balik tanah, pemilikan strata, dan perancangan guna tanah. Walau bagaimanapun, ketiadaan perundangan khusus merencatkan pembangunan semula bandar.
- Peruntukan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] iaitu di bawah Seksyen 57 telah menggariskan penetapan mendapat ambang persetujuan (consent threshold) dengan keperluan mendapat 100% persetujuan penduduk bagi setiap cadangan penamatan skim strata. Keperluan menggubal akta baharu iaitu Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB) penting untuk diselaraskan dengan Akta 318 bagi menentukan ambang persetujuan yang lebih wajar antara 80% sehingga 90%. Antara parameter yang akan diambilkira termasuk usia bangunan, keselamatan dan kekukuhan bangunan berdasarkan perakuan jurutera bertauliah dan isu sosial disebabkan keusangan bangunan.
- Untuk menangani risiko keusangan; kemerosotan infrastruktur kawasan bandar; dan kawasan atau bangunan yang menghadapi masalah sosial dan pengurusan komuniti terutamanya bagi hartanah berskim strata berbilang tingkat.
Kepesatan pembangunan telah mengakibatkan sebahagian penempatan di kawasan bandar terpinggir daripada arus pembangunan terutamanya di kawasan bangunan lama, bangunan terbengkalai, brownfield dan kawasan greyfield. Keadaan ini mewujudkan suasana dan pemandangan yang suram, masalah gejala sosial dan jenayah, risiko bangunan runtuh, memberi imej kurang sihat, tidak mampan dari aspek pengurusan tenaga dan tidak dapat menampung kecekapan teknologi moden.
Bagaimana Akta PSB dapat menyeimbangkan kehendak atau interests antara pemaju dan pemilik hartanah?
- Akta ini akan melalui proses yang menyeluruh iaitu Regulatory Impact Analysis /Assessment (RIA) sebagai salah keperluan semasa penggubalan akta di mana melibatkan tujuh elemen merangkumi pernyataan masalah; objektif; opsyen; analisis impak; konsultasi; kesimpulan dan cadangan; dan pelaksanaan strategi.
- Akta ini akan memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa (kerajaan) sebagai pihak yang akan mengawal selia pelaksanaan PSB. Ia merupakan satu mekanisme penglibatan kerajaan atau ‘government intervention’ melalui penyediaan kaedah dan peraturan yang telus dengan memberi fokus kepada memelihara kepentingan pemilik hartanah asal.
- Semasa penggubalan akta ini, semua sesi libat urus yang telah dilaksanakan bersama orang yang berkepentingan bagi memastikan semua hak orang yang berkepentingan dapat dijaga dengan baik akan diambil kira.
- Akta Pembaharuan Semula Bandar ini akan membantu dalam menjaga hak dan kepentingan penduduk terkesan dan seterusnya mencadangkan peratusan ambang persetujuan yang munasabah.
Pemaju dan pemain industri hanya akan mendapat kebenaran setelah tapak/kawasan potensi pembaharuan semula bandar telah dikenalpasti melalui persetujuan dan kelulusan pihak berkuasa (kerajaan) melalui satu deklarasi tapak atau mewartakan pengisytiharan kawasan selepas mengambilkira semua persetujuan dan kepentingan penduduk terjamin.
Apakah manfaat pembaharuan semula di bandar-bandar besar? Bagaimana ia menyumbang kepada pembangunan yang berdaya huni?
- Berdasarkan statistik perbandaran yang dikumpulkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebanyak 534 tapak dan bangunan bandar-bandar di Semenanjung Malaysia yang berada di dalam situasi usang yang berpotensi untuk dibangunkan semula. Daripada jumlah di atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenalpasti sebanyak 139 tapak yang berpotensi untuk dibangunkan semula dengan jangkaan nilai pembangunan kasar Gross Development Value (GDV) sebanyak RM355.3 Billion.
- Akta ini akan menjadikan pelaksanaan PSB akan lebih baik dengan meningkatkan kesejahteraan sosial serta mewujudkan mekanisme pembangunan semula dengan lebih efektif dan komprehensif selaras dengan Agenda Malaysia MADANI.
- Konsep pembangunan pembaharuan semula bandar menggariskan Sebelas (11) prinsip perancangan utama di mana secara dasarnya akan memberi fokus kepada kepentingan yang seimbang dan menyeluruh kepada aspek sosial, ekonomi, alam sekitar dan persekitaran fizikal yang ditambah baik. Sebelas (11) prinsip tersebut ialah:
- Persetujuan pemilik;
- Pengekalan penduduk asal;
- Pembangunan berfasa/ berperingkat;
- Penilaian terperinci tapak;
- Menjaga kepentingan pemilik tanah/bangunan;
- Kelulusan pembangunan mengikut prosedur peruntukan perundangan sedia ada;
- Penempatan sementara yang kondusif;
- Kos caj penyelenggaraan;
- Gunatanah yang efektif;
- Penambahbaikan penggunaan teknologi; dan
- Penilaian kriteria tapak pembaharuan semula bandar
Kemaskini pada 2024-08-29 16:05:32 daripada Mohd Irwan bin Omar