Apa itu KAGUMN?
Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) adalah satu pelan induk yang menjamin keterjaminan makanan negara (Food Security) melalui pendekatan perancangan guna tanah bagi kawasan sumber makanan negara yang terdiri daripada kawasan pertanian tanaman makanan, penternakan dan perikanan. Pembentukan halatuju dan strategi perancangan guna tanah kawasan sumber makanan negara telah dibentuk berdasarkan profil semasa kawasan pengeluaran makanan serta kesediaan dan kesesuaian tanah pengeluaran makanan pada masa hadapan.
Perancangan guna tanah ini menterjemahkan keperluan tanah masa hadapan berdasarkan analisis, penemuan dan rumusan analisis SWOT bagi mencapai matlamat dan sasaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) serta penyelesaian masalah dan isu-isu yang dikenal pasti. Pelan konsep pengeluaran makanan KAGUMN menunjukkan corak dan halatuju spatial guna tanah pengeluaran makanan pada tahun 2040 yang bertemakan “Preserving & Regenerating Productive Agricultural Hubs” dengan matlamat untuk Pengekalan, Pemeliharaan, Pemuliharaan dan Peningkatan kawasan pengeluaran makanan negara.
Fungsi KAGUMN?
Pelan induk ini disediakan untuk perancangan guna tanah bagi pengekalan, pemeliharaan, pemuliharaan dan peningkatan kawasan sumber makanan negara untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSR) dan menjamin sekuriti makanan negara menjelang tahun 2040 selaras dengan sasaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4). Fungsi utama KAGUMN dalam perancangan guna tanah pengeluaran makanan adalah:
- Memperincikan maklumat guna tanah pengeluaran makanan negara dari aspek tanaman makanan, penternakan, perikanan dan akuakultur;
- Mengenal pasti kawasan-kawasan yang tersedia dan sesuai untuk tujuan pengeluaran makanan negara, mencapai sasaran SSR negara;
- Mencadangkan strategi dan tindakan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara, bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pengeluaran makanan; dan
Menjadi input dan halatuju kepada rancangan pemajuan dalam merangka perancangan dan kawalan pembangunan bagi tanah-tanah pengeluaran makanan.
Apakah teras, strategi dan sasaran KAGUMN?
Pelan induk ini disokong oleh cadangan tindakan mengikut teras, strategi dan inisiatif pelaksanaan. Terdapat empat (4) teras, 20 strategi, 48 tindakan, dan 102 inisiatif. Empat teras dan sasaran KAGUMN adalah seperti berikut:
- TERAS 1: Kelestarian dan Daya Tahan Sumberjaya.
- Sasaran 10% daripada keluasan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai kawasan sumber makanan negara.
- Pengekalan, pemeliharaan dan pemuliharaan guna tanah pengeluaran makanan sedia ada.
- Peningkatan kawasan baharu guna tanah pengeluaran makanan.
- Pencegahan penukaran guna tanah pengeluaran makanan.
- Kawasan guna tanah pengeluaran makanan yang berdaya tahan bencana dan adaptasi perubahan iklim.
- Kawasan guna tanah pengeluaran makanan yang mesra alam.
- TERAS 2: Adaptasi Amalan Pertanian Yang Baik, Inovatif dan Produktif
- Peningkatan produktiviti melalui penggunaan tanah yang optimum dan teknologi pintar.
- Pengeluaran makanan yang mesra alam.
- Peningkatan pendapatan petani yang berterusan melalui latihan dan pemodenan.
- TERAS 3: Ketersediaan Infrastruktur yang Efektif dan Bersepadu
- Ketersediaan sistem pengairan yang efisien.
- Kemudahcapaian dan penembusan internet yang menyeluruh dan berkapasiti tinggi.
- Infrastruktur pertanian yang disokong oleh perkhidmatan utiliti yang berkesan.
- Kawasan pengeluaran makanan yang disokong oleh sistem perhubungan yang baik.
- TERAS 4: Pemerkasaan Tadbir Urus Kukuh, Dinamik dan Efektif
- Pengukuhan mekanisme pengekalan, pemeliharaan dan pemuliharaan guna tanah pengeluaran makanan negara.
- Pemantapan pengurusan guna tanah pengeluaran makanan sebagai agenda sekuriti makanan negara.
- Pemerkasaan modal insan dan sistem penyampaian agensi.
Pengwujudan bank data guna tanah pengeluaran makanan negara
Kemaskini pada 2024-08-29 15:50:13 daripada Mohd Irwan bin Omar